Pemahaman


LATIHAN PEMAHAMAN

 SET 1


Baca petikan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

           
Pada hari Sabtu yang lalu, kami sekeluarga pergi ke Kajang untuk menghadiri majlis perkahwinan anak Pak Long Jaafar. Kami sampai sejurus majlis tersebut dilangsungkan.    
Setibanya kami di sana, kami disambut oleh Pak Long Jaafar dan Mak Long Kiah. Saya lihat ramai orang kampung yang sibuk bergotong-royong di rumah Pak Long. Ada yang sedang memasang khemah, membuat pelamin dan juga menyediakan bahan untuk memasak lauk-pauk di penanggah.
            Ibu mengajak aku ke ruang dapur. Kami turut membantu mengupas bawang dan ubi kentang. Suasana riuh-rendah. Ayah dan abang pula membantu menyiang ayam. Aku lihat abang nyaris-nyaris muntah kerana tidak tertahan dengan bau hanyir ayam.
            Upacara pernikahan dilangsungkan pada sebelah malam. Selesai sahaja akad nikah, majlis berinai diadakan. Para tetamu pula dijemput makan di khemah yang telah disediakan.
            Keesokan harinya, majlis persandingan diadakan pada pukul 2.00 petang. Pengantin diarak dengan bunga manggar serta paluan kompang. Selepas itu, kedua-dua mempelai duduk di atas pelamin. “Cantik sungguh Kak Sarah,” bisikku kepada emak. Pak Long Jaafar dan Mak Long Kiah dijemput menepung tawar pengantin diikuti kaum keluarga terdekat. Tetamu yang menepung tawar pengantin dihadiahkan sekuntum bunga telur. Selesai sahaja upacara menepung tawar, pengantin dan para tetamu makan di khemah yang telah disediakan.
            Selepas selesai makan, tetamu beransur pulang. Kami sekeluarga juga ingin pulang awal kerana abang akan menduduki peperiksaan SPM pada pukul 8.00 pagi esok. Sebelum pulang, Pak Long Jaafar sempat mengucapkan terima kasih kepada kami kerana sudi menghadiri majlis perkahwinan anaknya. Mak Long Kiah pula menghulurkan bungkusan yang berisi nasi dan lauk-pauk sebagai buah tangan untuk kami.


1.       Bilakah majlis perkahwinan anak Pak Long Jaafar   
           diadakan ?

            A.    Hari Sabtu
            B.    Hari Ahad
            C.    Hari Isnin
            D.    Hari Jumaat


2.       Mengapakah abang “aku” nyaris-nyaris muntah ?

            A.    Kerana tidak tahan bau hanyir ayam.
            B.    Kerana ayam sudah berbau busuk.
            C.    Kerana tidak tahan melihat darah ayam.
D.    Kerana ayam yang disiangi terlalu banyak.


3.       Perkara berikut diadakan semasa hari persandingan, 
          kecuali

            A.    menepung tawar
            B.    bersanding.    
            C.    berarak
            D.    akad nikah


4.       Apakah yang dihadiahkan kepada tetamu yang 
          menepung tawar pengantin ?

            A.    Sekuntum bunga mawar.
            B.    Sekuntum bunga telur
            C.    Sebiji telur.
            D.    Sepotong kek.


5.       Apakah hubungan antara penulis dengan Sarah ?

            A.    Adik-beradik
            B.    Sepupu
            C.    Besan
            D.    Anak Saudara

SET 2



Baca petikan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.


           Sudah hampir dua tahun Tuk Mat meninggalkan aku. Dia pergi buat selama-lamanya. Waktu itu aku baru melangkah ke tahap dua sekolah rendah. Tuk Mat amat istimewa bagiku. Aku tidak pernah melupakannya. Imbasan peristiwa lalu masih segar dalam ingatanku.

           Namanya selalu kusebut apabila kesunyian. Aku terasa seolah-olah Tuk Mat berada di sisiku. Begitulah kasih sayang dan rapatnya aku dengan Tuk Mat. Aku merenung gambarku bersama-sama Tuk Mat. Alangkah manjanya aku memeluk bahu Tuk Mat. Tuk Mat kelihatan begitu ceria dengan senyumannya. Hanya potret inilah yang tinggal untuk mengubat rinduku pada Tuk Mat.

           Selama ini, pada Tuk Mat tempat aku bermanja. Tuk Matlah yang menyara aku. Segala perbelanjaan persekolahanku ditanggungnya. Peristiwa sedih ini berlaku kira-kira tujuh tahun yang silam. Ibu berkahwin lain setelah kematian bapa.

           Ibu melahirkan Khairul Nizam. Sesungguhnya kehadiran orang baru dalam hidup ibu menyebabkan aku jauh hati. Aku melarikan diri dan meninggalkan ibu. Mujur Tuk Mat faham. Beliau mengajak aku tinggal bersama-sama dengannya. Selepas itu, ibu ada juga datang memujukku. Tetapi Tuk Mat berkeras untuk terus menjagaku.

           Tuk Mat benar-benar menyayangi aku. Setiap hari beliau menghantar dan mengambil aku dari sekolah dengan motosikalnya. Sepanjang ingatanku, tidak pernah Tuk Mat melukakan hatiku. Beliau sentiasa bersabar melayan segala kerenahku. Walaupun kadangkala aku ini kepala angin, Tuk Mat tidak pernah memarahiku apatah lagi memukulku. Sebaliknya, Tuk Mat banyak memberikan nasihat kepadaku. Hingga kini, kata-kata itu masih segar dalam ingatanku.

            Kenangan dan kemesraanku bersama Tuk Mat amat payah untuk kulupakan. Memori ini telah sebati dengan jiwaku. Tanpa kusedari, air mataku berlinangan di pipi. Aku benar-benar rindu akan kasih sayang Tuk Mat. Doaku, semoga Tuk Mat damai di alamnya. Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya atas roh Tuk Mat.






6. Apakah hubungan Khairul Nizam dengan penulis?

A
Adik tiri

B
Adik angkat

C
Adik kandung

D
Anak saudara


7. Apakah yang dilakukan oleh penulis apabila terkenangkan Tuk Mat?

A
Memeluk bahu Tuk Mat dengan manjanya

B
Menatap potret kenangan sambil menangis

C
Bersedih dan menangis tidak berhenti-henti

D
Mengingati kebaikan dan pengorbanan Tuk Mat




8. Penulis telah menceritakan tentang kehidupannya bersama-sama 
    Tuk Mat, berapakah usia penulis sekarang?

A
5 tahun.

B
7 tahun.

C
10 tahun.

D
12 tahun.




9.  Mengapakah penulis berasa sedih sehingga mengalirkan air mata?

A
Terkenang akan bapanya yang sudah meninggal dunia

B
Terkenang akan datuknya yang sudah meninggal dunia

C
Cemburu akan kehadiran Khairul Nizam dalam keluarganya

D
Tidak dapat membonceng motosikal Tuk Mat untuk ke sekolah




10. Pernyataan yang berikut adalah benar tentang penulis, kecuali

A
tinggal bersama-sama ibunya selama lima tahun.

B
perbelanjaan sekolahnya ditanggung oleh Tuk Mat.

C
menjadi anak yatim piatu ketika berusia lima tahun.

D
penulis selalu mendoakan kesejahteraan roh datuknya




SET 3


Baca petikan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

Sabtu 12 Mac 2005
7.40 pagi
Berhimpun di kantin sekolah. Seramai 40 orang ahli unit 
beruniform akan menyertai perkhemahan di Ulu Kenas, Kuala
 Kangsar. Cikgu Kamal sibuk memberi arahan kepada kami.
8.30 pagi
Bas bertolak meninggalkan kawasan sekolah. Sepanjang 
perjalanan kami menyanyi dengan iringan petikan gitar Cikgu Azmi.
10.30 pagi
Sampai ke tapak perkhemahan. Kami diarahkan mengangkut
 segala peralatan seperti khemah, peralatan memasak dan 
bekalan makanan.
11.00 pagi
Setiap kumpulan memasang khemah dengan bantuan guru-guru. 
Beberapa orang murid perempuan dengan bantuan Cikgu Ng Mei
 Kwan dan Cikgu Nona sibuk memasak untuk makan tengah hari.
1.00 petang
Makan tengah hari. Walaupun hanya berlaukkan sardin dan telur
 goreng, kami makan dengan begitu berselera. Selepas makan
 kami berehat.
2.00 petang
Dibawa meredah hutan. Perjalanan agak sukar. Pegawai Jabatan
 Hutan Kuala Kangsar yang mengetuai kami turut menerangkan 
tentang beberapa jenis pokok dan kegunaannya. Tiba-tiba kami
 terdengar jeritan. Rupa-rupanya beberapa orang budak perempuan
 terserempak dengan seekor biawak bukit.
4.30 petang
Kembali ke tapak perkhemahan. Cikgu Kamal membenarkan kami mandi
 di sungai. Kami bersorak kegembiraan.
8.00 malam
Makan malam. Sambil makan, Cikgu Kamal memuji kerjasama yang 
kami tunjukkan setakat ini.
8.30 malam
Persembahan kebudayaan.  Setiap kumpulan diminta membuat satu
 persembahan. Guru-guru pun tidak kurang hebatnya. Cikgu Nurul berduet
 dengan Cikgu Nona menyampaikan lagu “Aci Aci Buka Pintu”.   Cikgu 
 Azmi pula menghiburkan kami dengan petikan gitar dan lawak jenakanya
 yang mencuit hati.
Ahad 13 Mac 2005
6.00 pagi
Setelah mandi, murid Islam solat subuh dan murid bukan Islam 
menghadiri kelas Pendidikan Moral.  Kemudian setiap kumpulan
 menyediakan sarapan pagi, iaitu roti dan telur setengah masak.
8.00 pagi
Aktiviti mencari harta karun.  Setiap kumpulan diberikan sebuah peta.
10.00 pagi
Cikgu Kamal mengarahkan setiap kumpulan membuka khemah 
dan mengemaskan barang-barang kerana bas yang membawa kami 
pulang akan sampai sebentar lagi.
11.00 pagi
Bas mula meninggalkan tapak perkhemahan Ulu Kenas yang 
memberikan banyak pengalaman dan kenangan kepada kami.


1. Berapa orangkah yang menyertai perkhemahan ke Ulu Kenas?

A
40 orang

B
42 orang

C
45 orang

D
46 orang



2. Mengapakah murid-murid perempuan menjerit apabila
    terserempak dengan biawak bukit?

A
Mereka berasa takut

B
Biawak bukit sejenis haiwan berbisa

C
Mereka berasa terkejut apabila melihat seekor biawak yang besar

D
Biawak bukit itu menjelirkan lidahnya dan cuba mematuk mereka



3. Pada pendapat kamu, apakah jawatan Cikgu Azmi di sekolah?

A
Guru Pengakap

B
Guru Disiplin

C
Guru Muzik

D
Guru Sains



4. Maksud “berduet” dalam petikan di atas ialah

A
bersaingan.

B
bersendirian.

C
berkumpulan.

D
berpasangan.



5. Siapakah yang mengetuai perkhemahan tersebut?

A
Cikgu Nona

B
Cikgu Azmi

C
Cikgu Nurul

D
Cikgu Kamal    




SET 4


Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan yang  berikutnya.

JOHOR BAHRU, 3 Februari – Pesta Layang-layang Antarabangsa Pasir Gudang Ketujuh akan bermula esok hingga 10 Februari ini. Pesta ini disertai oleh hampir 600 orang peserta yang akan mewakili negara termasuk negara kita.
        Pengerusi pesta itu, Tan Sri Mohamad Ali Hashim berkata, selain penyertaan tempatan dan antarabangsa, pesta kali ini turut menyaksikan penyertaan sekolah dan institusi pengajian tinggi. Penganjur telah membahagikan pesta tersebut kepada dua bahagian, iaitu pertandingan layang-layang naik dan pertandingan layang-layang cantik. Setiap pertandingan dibahagikan kepada dua kategori lagi, iaitu moden dan tradisional.
       Selain dapat menyaksikan reka bentuk wau yang unik, orang ramai juga berpeluang untuk melihat layang-layang tradisional yang diperbuat daripada bahan semula jadi seperti daun. Negara  tuan rumah pula akan mempamerkan wau-wau dari seluruh negeri seperti wau kucing, wau bulan dan wau burung.
        Beliau berkata, tarikan utama pesta kali ini ialah pertunjukan layang-layang moden yang direka secara kreatif, unik dan berwarna-warni oleh peserta tempatan dan luar negara. Seramai 15000 orang pengunjung dijangka menyaksikan pesta yang telah mendapatpengiktirafan antarabangsa.
        Sempena pesta itu, pelbagai acara menarik diadakan. Antaranya termasuklah pameran wau tradisional dan bengkel membuat wau. Yang istimewa lagi ialah pengunjung berpeluang untuk menaikkan wau ciptaan mereka.
        Pesta ini akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat, Menteri Besar Johor pada hari Sabtu ini. Acara kemuncak pada hari tersebut ialah pertunjukan payung terjun oleh Angkatan Tentera Malaysia.

1
Apakah tarikan utama dalam pesta layang-layang tersebut?

A
Pertunjukan layang-layang moden.
B
Corak warna-warni layang-layang.
C
Perasmian oleh Menteri Besar Johor.
D
Bengkel membuat layang-layang sendiri.

2
Keistimewaan yang akan diperoleh pengunjung pesta tersebut ialah

A
dapat menyertai pertandingan membuat wau moden.
B
dapat menyertai pertunjukan payung terjun.
C
dapat menyertai bengkel membuat wau.
D
dapat menyertai pertandingan membuat wau tradisional.

3
Pernyataan yang manakah benar tentang pesta layang-layang tersebut?

A
Pengunjung diberi kesempatan untuk menaikkan wau yang dipamerkan.
B
Pengunjung berpeluang melihat pelbagai jenis wau yang dipamerkan.
C
Pesta ini akan disertai oleh institusi pengajian tinggi dan sekolah sahaja. 
D
Pesta tersebut bermula pada 3 Februari dan berakhir pada 10 Februari.

4
Perkataan pengiktirafan dalam petikan bermaksud

A
Pengesahan
B
Persetujuan
C
Penyertaan
D
Penghargaan

5
Yang berikut ialah kategori pertandingan layang-layang itu,kecuali

A
pertandingan menaikkan layang-layang moden.
B
pertandingan menaikkan layang-layang tradisional.
C
pertandingan kecantikan layang-layang unik.
D
pertandingan kecantikan layang-layang tradisional.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan