Isnin, 11 Mac 2013

Sekadar renungan buat diri...

* Kalau guru mengajar sambil duduk
murid belajar sambil mengantuk
* kalau guru mengajar sambil berlakon
murid belajar dengan tekun
* kalau guru mengajar banyak bercakap
pada murid bertambah gagap
* kalau guru pemudah cara
murid belajar pandai berbicara
* kalau guru mengajar tanpa menilai
tidak akan tahu murid bodoh atau pandai
* kalau guru berbudi bahasa
dikenang murid sepanjang masa.

Guru yang dekat di hati murid...

* sentiasa hadir ke sekolah
* sentiasa ada bila diperlukan
* kenal murid mereka secara lebih dekat
* tahu apa yang mereka ajar
* menghadiri setiap acara sekolah
* makan di kantin sekolah
* sentiasa berlaku adil
* sentiasa ringan tulang
* tidak akan hilang sabar

Sabtu, 2 Mac 2013

Jom Tonton...


Murid-murid,
Berdasarkan video pendek yang cikgu sertakan, senaraikan 10 nilai murni daripada video tersebut.


Khamis, 28 Februari 2013

Sila buat latihan ini dalam buku Latihan 1 dan hantar pada cikgu  hari Selasa ( 5 Mac 2013 ) minggu hadapan.

 

Latihan Melengkapkan Ayat



Lengkapkan ayat-ayat di bawah dengan jawapan yang betul:

1.         Mawar Putih  ____________________ dengan Mawar  Merah.

2.        _________________ mereka telah meninggal dunia.

3.         Mawar Merah selalu _________________dan      
            ______________   Mawar    Putih

4.         Mak Anggerik telah menolak Mak Cempaka ke dalam
      ________________.

5.         Suara Mawar Putih sungguh ________________.
 
6.         Putera raja tertarik  akan _________________________     
           Mawar   Putih.
 
7.         Putera raja____________________dan akhirnya mereka
      ___________________________.

Karangan Jenis Autobiografi 

 

Sila tulis sebuah karangan jenis autobiografi dalam buku latihan karangan. Hantar latihan karangan yang telah siap pada cikgu hari Khamis         (  7 Mac 2013 ).

Tulis sebuah karangan jenis autobiografi dengan memilih salah satu daripada tajuk-tajuk di bawah. Anda boleh merujuk contoh-contoh karangan yang diberi. Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

Karangan 1 :

Andaikan diri kamu sebiji bola.
Tulis karangan bertajuk ‘Aku Sebiji Bola’
Tajuk : Aku Sebiji Bola
Aku sebiji bola. Nama aku ialah Adidas. Aku dibuat di sebuah kilang di Shah Alam.
Pada suatu hari, aku dan kawan-kawan dimasukkan ke dalam sebuah kotak  yang besar. Kami dihantar ke sebuah pasar raya di Setiawan. Di situ, kami dipamerkan untuk dijual.
Pada suatu petang, seorang wanita telah membeli aku. Aku dihadiahkan kepada anak lelakinya.
Tuan aku selalu membawa saya ke padang. Biasanya, dia akan bermain dengan kawan-kawannya. Badan aku sakit kerana selalu ditendang.
Walau bagaimanapun, tuan aku pandai menjaga aku. Setelah bermain, dia akan  memastikan  badan aku bersih. Apabila badan aku  kempis , aku akan dipam oleh tuan aku.
        Saya berasa gembira kerana dapat berkhidmat untuk tuan saya

Karangan 2 :
Andaikan diri kamu sehelai baju.
Tulis karangan bertajuk “Aku Sehelai Baju”.
Tajuk : Aku Sehelai Baju
Aku sehelai baju. Aku berasal dari sebuah kilang di Shah Alam. Aku diberi nama Kiko. Setelah selesai dibungkus, aku dan rakan-rakan dimasukkan ke dalam kotak.
Kemudian, kami dihantar ke sebuah kedai yang terletak di Bandar Raya Johor Bahru. Kami dipamerkan di atas sebuah rak untuk menarik perhatian pelanggan.
Pada suatu hari, seorang budak lelaki datang ke kedai itu. Apabila melihat reka bentuk aku, dia terus membeli aku. Aku dibawa pulang ke rumah.
Setiap hari, dia berasa bangga apabila memakai aku. Dia juga akan membersihkan badan aku supaya sentiasa kelihatan bersih dan wangi.
Lama-kelamaan, warna badan aku telah lusuh dan koyak. Aku kelihatan hodoh dan comot. Tuan aku malu untuk memakai aku lagi.
          Dia menggunakan aku untuk mengelap kotoran. Kini, riwayat hidup aku berada di penghujung. Aku telah menjadi sehelai kain buruk.

Karangan 3 :
Andaikan diri kamu sebuah kereta.
Tulis karangan bertajuk “Aku Sebuah Kereta Proton”.
 
AKU SEBUAH KERETA PROTON

Aku sebuah kereta. Namaku Saga. Aku dilahirkan di kilang proton di  Shah Alam. Tubuh badanku  direka khas untuk memenuhi cita rasa pengguna di Malaysia. Setelah siap diproses menjadi sebuah kereta, aku dan rakan-rakan telah ditempatkan di bilik pameran kereta.

Sempena pelancaran kereta baru ini, akudan rakan-rakan telah mendapat sambutan hangat daripada para pengunjung. Mereka memandu ujiku dan rakan-rakan. Para pengunjung yang datang ke majlis pelancaran kereta itu sangat berpuas hati dengan kehebatan kami.

Aku dan rakan-rakan umpama pisang goreng kerana kami telah habis ditempah oleh para pembeli. Seorang guru sekolah bernama Ali  telah menjadi tuan aku. Aku berjanji memberi perkhidmatan yang terbaik buat tuanku.           

Setiap pagi,akan membawa Ali ke sekolahnya. Dia sangat bangga dengan reka bentuk aku. Rakan-rakan  juga sering memujiku. Selain ke sekolah, aku juga membawa isterinya ke pejabat di Putrajaya.

Aku selalu dicuci dan dibersihkan pada hujung minggu. Selepas dikilatkan, aku menjadi seperti baru semula. Ini membuat aku semakin lama semakin disayangi oleh tuanku.

       Pada suatu hari,tuanku telah terlewat bangun. Dia tergesa-gesa pergi ke sekolah. Dia memanduku dengan laju sekali. Malang tidak berbau aku telah terbabit dalam kemalangan ngeri dengan sebuh lori. Aku rosak teruk dan tuanku meninggal dunia. Aku bukan sahaja sedih akan diriku tetapi meratapi akan nasib tuanku.

 

Karangan 4 :

Andaikan diri kamu sepasang kasut.
Tulis karangan bertajuk ‘Aku Sepasang Kasut’
“Aku Sepasang Kasut”

       Nama saya ialah puteri. Saya diperbuat daripada kulit buaya dan tapak saya diperbuat daripada getah. Saya berasal daripada sebuah kilang di kawasan perindustrian Seberang Perai.
       Setelah siap dibungkus saya dihantar ke sebuah kedai kasut di Parit Buntar. Ramai orang tertarik dengan diri saya kerana kulit saya yang asli dan berwarna hitam. Saya selalu digilap sehingga berkilat.
Pada suatu hari,seorang gadis cantik telah datang ke kedai tersebut. Dia berminat melihat bentuk saya yang cantik lalu membelinya. Saya di bawa pulang ke rumah.
       Tuan saya menjaga saya dengan baik. Dia tidak suka memijak becak jika memakai saya. Pada setiap hujung minggu, tubuh saya akan digilap dengan pengilat yang dibeli khas untuk saya.
Walaupun dua tahun berlalu, saya masih setia berkhidmat.Namun begitu, kini diri saya telah mula uzur. Tapak saya mula haus dan tubuh saya telah mula cedera.
          Pada suatu hari,tuan saya pulang dengan membawa sepasang kasut baru. Saya berasa sungguh sedih. Tuan saya telah menyimpan saya di dalam stor. Tinggalah saya dalam kegelapan dan kesepian.

Karangan 5 :

Andaikan diri kamu sepasang cermin mata.
Tulis karangan bertajuk ‘Aku Sepasang Cermin Mata’
‘’AKU SEPASANG CERMIN MATA’’

        Aku cermin mata yang berbentu bulat. Aku mempunyai bingkai yang berwarna perang. Cerminku berwarna jernih dan bebentuk cembung. Ada juga rakan-rakanku yang bercermin cekung.
       Aku berfungsi untuk membantu orang yang mengalami masalah penglihatan. Contohnya mereka yang berpenyakit rabun jauh dan rabun dekat. Ada juga manusia yang memakai cermin mata untuk melindungi mata daripada sinaran matahari dan sebagai fesyen sahaja.
      Aku dimiliki oleh seorang budak perempuan yang masih bersekolah. Dia menggunakanku untuk membaca,menulis dan sebagainya. Dia menjagaku dengan baik sekali. Apabila cermin mataku kelihatan kabur, dia akan mengelapnya. Aku juga disimpan di dalam  beg kecil yang bersih. Sebelum tidur, aku akan disimpan supaya tidak pecah.
      Aku kasihan melihat tuanku apabila aku terjatuh. Dia akan teraba-raba mencariku. Kadang-kala kepalanya terhantuk di kaki meja. Namun, dia akan tersenyum apabila menemui ku kembali.
         Aku bangga menjadi sepasang cermin mata. Aku dapat membantu mereka yang memerlukan diriku.
Latihan 1 :
Aku Sebuah Rumah
                                           
Aku ___________________ (sebuah/sebiji) rumah banglo dua tingkat. Aku dibina di ___________________ (atas /bawah) sebidang tanah di lereng bukit.
Pada suatu hari, ___________________ (sepasang/seorang) suami isteri datang melihatku. Si isteri ___________________ (memuji/mengeji) kecantikanku. Dia memujuk suaminya agar ___________________  (membeliku/menjualku).
Si suami bersetuju untuk membeliku. Aku berasa ___________________ (sangat/lebih) gembira. Akhirnya aku mempunyai seorang tuan.
Keesokan harinya, pasangan suami isteri tersebut ___________________ (datang/pulang) kembali. Mereka turut membawa dua ___________________ (orang/ekor) anak mereka.  Mereka melihat segenap ruang yang terdapat di dalam tubuhku.
Aku berasa tidak sabar untuk menyumbangkan khidmatku ___________________ (kepada/daripada) tuanku. Aku berharap tuanku akan berpuas ___________________ (hati/jantung) dengan perkhidmatanku.
Sila buat latihan ini dalam buku Latihan 2 dan hantar pada cikgu  hari Isnin ( 4 Mac 2013 ) minggu hadapan.

Pilih jawapan yang paling betul.

Latihan Penjodoh Bilangan

1.Ayah membawa dua _______________ joran untuk  

memancing di sungai itu.
A bentuk
B urat
C batang
D utas

2. Pekerja-pekerja itu mengecat lapan____________ tiang rumah itu dengan warna kuning.
A bidang
B gulung
C biji
D batang

3. Siew Jin menggunakan se___________ benang untuk menjahit beberapa helai baju.
A butir
B buku
C kaki
D helai

4. Puan Yong menggunakan se ___________ kertas untuk mencatat barang- barang
keperluan anak-anaknya.
A helai
B timbun
C pasukan
D buku

5. Dua ____________ tiang lampu dihempap pokok semalam.
A kuntum
B batang
C papan
D longgok

6. Pak Osman menggunakan sepuluh ________________ kawat duri untuk memagari kebunnya.
A rawan
B gelung
C ketul
D rangkap


7. Tong Lam membaling bebeapa ________________ pasir ke dalam sungai.
A rumpun
B genggam
C patah
D butir

8. Lengan baju pegawai itu terkena beberapa ___________dakwat merah.
A titik
B potong
C ruas
D bentuk

9. Pemburu itu menggunakan beberapa _____________peluru untuk menembak rusa.
A laras
B das
C bilah
D butir

10. Petani itu memberikan sepuluh _____________jagung kepada kami.
A tongkol
B biji
C baris
D ruas

Selasa, 19 Februari 2013

Assalamualaikum  dan Salam sejahtera..
         Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinnya, akhirnya blog yang tidak seberapa ini berjaya disiapkan walau dalam serba kekurangan. Terima kasih kepada teman-teman yang sudi menjenguk blog saya. Semoga segala ilmu yang dikongsikan bermanfaat buat kita semua. Sudi-sudikanlah menjadi pengikut setia saya dalam blog Cikgu Comel ni ye..

Sabtu, 16 Februari 2013

KONSEP TATABAHASA

KONSEP TATABAHASA



1.0 PENGENALAN
     Tatabahasa ialah teori bahasa,sistem,peraturan ataupun undang-undang sesuatu bahasa yang diketahui oleh masyarakat penutur bahasa itu.Dengan perkataan lain, tatabahasa itu tidak lain daripada himpunan peraturan umum struktur bahasa yang meliputi bidang morfologi dan sintaksis. Morfologi ialah bidang yang mengkaji perkataan manakala sintaksis pula ialah bidang yang mengkaji ayat.Kedua-dua bidang ini saling berkaitan kerana ketepatan tatabahasa bergantung pada ketepatan perkataan(morfologi) dan ketepatan susunan perkataan (sintaksis) dalam sesuatu ungkapan.
2.0  MORFOLOGI
                                      mengkaji struktur /susunan bunyi kata
MORFOLOGI            mengkaji bentuk kata
                                    mengkaji penggolongan kata
2.1  KONSEP DALAM ILMU MORFOLOGI
2.1.1  Struktur Kata
Merupakan susunan bunyi ujaran atau tulisan yang menjadi unit bahasa yang bermakna.
Contoh:
Struktur Betul
Struktur Salah
pedalaman
manladape
membina
binamem
berdasarkan
kandasarber
2.1.2  Bentuk Kata
Merupakan rupa unit tatabahasa - berbentuk tunggal(tidak menerima apa-apa perubahan) atau mengalami pengimbuhan(bentuk terbitan),penggandaan(diulang) dan pemajmukan (Bentuk dua kata yang hadir serentak)..Bentuk kata boleh digambarkan seperti berikut:
Kata
Bentuk Kata
hati
bentuk tunggal
berhati
bentuk terbitan
hati-hati
bentuk gandaan
hati perut
bentuk majmuk
2.1.3  Penggolongan Kata
Merupakan penjenisan kata berdasarkan fungsi tatabahasa.Terdapat 4 golongan kata dalam bahasa Melayu iaitu:
Golongan Kata
Contoh
Kata Nama
taman,jam,Seremban,kucing
Kata Kerja  (Perbuatan)
bermain,memasak,berlari,duduk
Kata Adjektif (Sifat)
cantik,nipis,garang,luas
Kata Tugas
di,akan,sangat,amat

2.2   UNIT-UNIT DALAM MORFOLOGI
 
Dua unit morfologi ialah morfem dan kata.Morfem terbahagi kepada dua iaitu:
 2.2.1 Morfem Bebas
Boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan morfem lain serta mempunyai makna yang lengkap.Morfem ini tidak boleh dipecahkan kepada unit yang lebih kecil lagi.Contoh morfem bebas adalah seperti saya,kamu,basikal,balai,rumah dan lain-lain lagi.
2.2.2  Morfem Terikat
Tidak boleh berdiri sendiri sebagai kata tanpa bantuan morfem lain.Secara amnya morfem terikat dalam Bahasa Melayu terdiri daripada imbuhan.Contohnya: imbuhan -di,-ter,-ber,-men,-kan dan -me,-kan. Terbahagi kepada 3 jenis iaitu:        
   
                                                                                         
i.Morfem Terikat Satuan-
Bentuk morfem terikat yang kukuh dan tidak boleh dipisah-pisahkan bahagiannya.Terdiri daripada imbuhan awalan seperti: ter,ber,me,dan di dan imbuhan akhiran seperti –an dan
 -kan.

ii.Morfem Terikat Terbahagi-
Morfem terikat yang strukturnya dipisahkan oleh kata dasar.Contohnya kemerosotan,kerajaan,pelaburan,mencurahkan,berdasarkan dan lain-lain lagi.

iii.Morfem Terikat Kompleks
Merupakan gabungan dua morfem terikat atau lebih yang berlaku pada awalan atau akhiran sahaja.Contohnya diperluaskan,diperhambai,memperjuangkan memperingati dan lain-lain lagi

2.3   PROSES PEMBENTUKAN KATA
                                                              kata tunggal  : 1,2,3,4 suku kata
PROSES PEMBENTUKAN KATA   kata terbitan  : berawalan,berakhiran,berapitan,bersisipan
                                                              kata majmuk : yang mantap,penggandaan,pengimbuhan
                                                              kata ganda    : penuh, separa,berentak
2.3.1 Bentuk Kata Tunggal
Merupakan bentuk kata yang berdiri sendiri tanpa menerima sebarang imbuhan dan tidak mengalami penggandaan dan pemajmukan.


2.3.2  Bentuk Kata Terbitan
   Dihasilkan melalui proses pengimbuhan di mana  melahirkan bentuk perkataan yang dipanggil kata terbitan.Imbuhan pula terbahagi kepada 4 jenis:

a.Imbuhan Awalan
Hadir pada awal kata dasar dan dihasilkan bersama kata nama terbitan,kata kerja terbitan dan kata adjektif terbitan:
i.Awalan Kata Nama      -Contoh :penulis,pembuka,penggali,pengecat,mahasiswa.
ii.Awalan Kata Kerja      -Contoh:melawat,membawa,menjerit,menggali.
iii.Awalan Kata Adjektif -Contoh: tercantik,terluas,terendah,seputih.
b.Imbuhan Akhiran
Hadir pada akhir kata dasar.Hanya wujud dalam kata nama terbitan dan kata kerja terbitan.
 i.Akhiran Kata Nama    -Contoh :pakaian,budiman,negarawan,olahragawati.
ii.Akhiran kata Kerja      -Contoh : tuliskan,tingkatkan,berkati,duduki.
c. Imbuhan Apitan.
 Hadir serentak di belakang dan di hadapan kata dasar.Wujud dalam kata nama terbitan,kata kerja      terbitan dan kata adjektif terbitan.
i.Apitan kata Nama       -Contoh:pelaksanaan,pembuatan,pendapatan.
ii.Apitan Kata Kerja      -Contoh:meletakkan,mentafsirkan,membaharukan.
iii.Apitan Kata Adjektif -Contoh:kearaban,kecinaan,keinggerisan.
d.Imbuhan Sisipan
Hadir secara menyisip dalam sesuatu kata dasar.Wujud dalam kata nama dan kata adjektif.
i.Sisipan Kata Nama       .-Contoh :  (el) kelengkang,telunjuk,kelabut
                                                           (er) keruping,serabut
ii.Sisipan Kata Adjektif   -Contoh :   (el) selerak,gelembung
                                                           (er) serabut,gerigi
                                                          (em) gemerlap,semerbak

2.3.3 Bentuk Kata Majmuk
Dua kata dasar atau lebih yang dirangkaikan dan membawa makna.Dieja terpisah tapi bertindak sebagai satu unit.Terbahagi kepada tiga bahagian:
a.Rangkaian Kata Bebas       -Contoh: pasar raya,jalan raya.
b.Istilah Khusus                     -Contoh: Papan kekunci,rancangan pengajaran.
c.Simpulan Bahasa                -Contoh :hati batu,harga mati,buaya darat.
d.Bentuk yang telah mantap-Contoh:warganegara,bumiputra,kerjasama.
2.3.4 Bentuk Kata Ganda
Terbahagi kepada 4 jenis penggandaan:
a.Penggandaan penuh        
    -Contoh:kereta-kereta,pen-pen.
b.Penggandaan Separa         
    -Contoh:bebola,lelabi,dedaun,bebunga.
c.Penggandaan Berentak   
    -Contoh:geli-geleman,licin-licau,kayu-kayan..
d.Penggandaan Berimbuhan
    -Contoh:Berlari-lari,mencari-cari,sayang-menyayangi,tolong-menolong.

  1. Definisi Ayat
  2. Pola Ayat Dasar
  3. Ayat Aktif
  4. Ayat Pasif
  5. Ayat Tunggal
  6. Ayat Majmuk

Sintaksis:

1. Definisi ayat

Ayat ialah unit pengucapan yang paling tinggi letaknya dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap. Ayat boleh terbentuk daripada satu perkataan atau susunan beberapa perkataan yang diucapkan dengan intonasi yang sempurna, iaitu dimulakan dan diakhiri dengan kesenyapan. (Nik Safiah Karim, 1986)

2. Pola Ayat Dasar

Dalam bahasa Melayu, pola ayat dasar boleh dibahagikan kepada empat jenis iaitu :

    Pola 1 : Frasa Nama + Frasa Nama
    Pola 2 : Frasa Nama + Frasa Kerja
    Pola 3 : Frasa Nama + Frasa Adjektif
    Pola 4 : Frasa Nama + Frasa Sendi Nama

Contoh :

Pola 1 : Encik Zainal + pengurus syarikat.
Pola 2 : Anak mereka + sedang tidur.
Pola 3 : Baju itu + merah.
Pola 4 : Rumah saya + di Negeri Sembilan.

3. Ayat Aktif

Ayat aktif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Ayat aktif terdiri daripada ayat aktif transitif dan ayat aktif tak transitif.

3.1. Ayat Aktif Transitif

Ayat aktif transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja transitif, iaitu yang diikuti oleh frasa nama ataupun klausa komponen sebagai objek atau unsur penyambutnya.

3.2 Ayat Aktif Tak Transitif

Ayat aktif tak transitif ialah ayat yang mengandungi kata kerja tak transitif, iaitu yang tidak diikuti oleh objek sebagai penyambutnya.

Contoh :
    Ahmad membaca buku. (aktif transitif)
    Harimau itu menerkam kijang. (aktif transitif)
    Dia menangis sepanjang hari. (aktif tak transitif)
    Teksi itu menuju ke utara. (aktif tak transitif)